Friday, February 25, 2011

1.3 Juta Penonton Trilogi Cinta

SELEPAS enam minggu disiarkan, drama Trilogi Cinta lakonan Rosyam Nor, Amyza Adnan dan Fouziah Gous berjaya menduduki tempat ke-22 dalam carta senarai 50 rancangan popular AC Nielson dengan jumlah penonton lebih sejuta orang.

Trilogi Cinta menjadi drama pertama TV1 yang berjaya meraih jumlah penonton tertinggi selepas dua tahun tidak mencapai kedudukan rancangan terbaik. Sehingga kini, drama Trilogi Cinta berjaya mencatat jumlah penonton melebihi 1.3 juta.

Justeru, ia kembali menjadikan TV1 tarikan penonton.

Disiarkan tiga hari berturut-turut dari Ahad hingga Selasa, jam 10 malam drama ini memaparkan konflik kekeluargaan suami isteri - Razif, Salmi dan Norjinah. Sebanyak 40 episod, ia diadaptasi daripada tiga novel popular nukilan Sharifah Abu Salem.

Diterajui pelakon berpengalaman, Rosyam berjaya melakonkan watak Razif, seorang suami yang sabar dan penyayang terhadap isterinya, Salmi walaupun wanita itu pernah curang. Bahkan, Razif juga ikhlas menerima Salmi yang lumpuh akibat kemalangan.

Bagaimanapun, kehadiran Norjinah lakonan Fouziah dalam keluarga Razif yang mempunyai dua anak perempuan nyata sangat bermakna. Namun, Salmi (Amyza) pula cemburu kerana mendapati Razif dan anak-anaknya lebih rapat serta menyayangi Norjinah.


Demi kasih sayang pada suami dan anak, Salmi sanggup hidup bermadu dan menyuruh Razif mengahwini Norjinah. Sejauh manakah, Salmi mampu menerima kehadiran Norjinah dalam keluarganya? Teruskan menonton drama Trilogi Cinta di TV1.

Justeru, antara barisan pelakon lain yang menjayakan drama terbitan Suhan Movies and Trading Sdn Bhd ialah Siti Fazurina, Aida Khalidah, Raisuddin Hamzah, Yuswaisar Nadzim Othman, Addy Ashraf, Roslan Salleh, Mak Wan Dan Rey Redzuan.

Bagi Norjinah yang ikhlas menerima Razif sekeluarga, mampukah dia melayari kehidupan sebagai isteri dengan tenang? Oleh itu, penonton drama Trilogi Cinta pastinya ingin tahu bagaimanakah berakhirnya kisah cinta tiga segi yang menyentuh hati ini.

- Sumber Harian Metro 24 Februari 2011

No comments:

Post a Comment