Monday, July 2, 2012

ABRAHAM LINCOLN - Vampire Hunter

Saya dan abang dah tengok cerita ni hari Sabtu lepas.. memang best giler la... Siapa yang belum tengok tu, cepat-cepat tengok. Tak rugi bayo tiket mahal sebab ceritanya memang menarik. Ada lah takot2 sket sebab terkejut...


Ni petikan dari Harian Metro pasal cerita ni... Layan..

Lincoln buru puntianak

Oleh Roslen Fadzil
roslen@mediaprima.com.my
KALAU ikut ‘kepala’ Hollywood, semua benda boleh jadi. Jika tidak, masakan Presiden Amerika Syarikat ke-16, Abraham Lincoln (1809-1865) pun boleh menjadi pemburu pontianak!
Dengan erti kata lain, atas nama filem, semua fantasi boleh menjadi benda ‘mustahil’ dalam dunia perfileman mereka. Mereka bebas berkarya, berani dan tiada masalah untuk menyentuh kisah yang tidak pernah diketahui manusia zaman ini tetapi ‘ada kemungkinan’ pernah berlaku dalam kehidupan manusia zaman lampau seperti mana Lincoln.
Pemilihan tema ‘the other side of Lincoln’ dalam filem Abraham Lincoln: Vampire Hunter itu juga lebih selamat kerana seperti yang saya katakan tadi, kita tidak hidup pada abad ke-19 dan tidak tahu pun kisah yang lebih bersifat peribadi dalam diri orang seperti Lincoln.

Setakat yang kita kenal apabila belajar sejarah dulu, Lincoln asalnya seorang peguam kelahiran Kentucky yang kemudian menjadi seorang ahli politik dan seterusnya Presiden. Beliau juga berusaha menamatkan Perang Saudara dan menghapuskan budaya perhambaan khususnya membabitkan warga kulit hitam di wilayahnya.


Lalu dalam ruang yang tidak diketahui umum itu, maka timbullah kisah fantasi Lincoln sebagai pemburu puntianak, makhluk jahat penghisap darah yang mitosnya wujud dalam setiap zaman. Sejak kecil lagi, keluarga Lincoln kononnya diancam. Dia bangkit menuntut bela untuk menghapuskan kejahatan. Jelas di sini fakta sejarah bercampur dengan fiksyen yang berjaya mempengaruhi penonton.

Melalui filem ini juga, Hollywood ingin menunjukkan satu lagi keperwiraan Lincoln dalam memerangi kejahatan sambil menjual jenama Lincoln kepada generasi masa kini. Jawapan yang sebenarnya ada pada Tim Burton sebagai produser dan Timur Bekmambetov, sutradara kelahiran Kazakhstan sebagai pengarah filem aksi-fantasi-seram ini.

Seandainya kisah hidup Lincoln dihasilkan mengikut apa yang tertera dalam buku sejarah, maka akan jadilah sebuah filem epik ‘heavy drama’ dan mungkin kurang mendapat sambutan daripada generasi muda.

Melihat konteks itu dalam negara kita sendiri, mungkin sukar untuk kita menghasilkan kisah seperti itu kerana kita dituduh mempermain-mainkan pula sejarah hidup tokoh negarawan kita. Namun sebagai manusia biasa, kita tentu sedar setiap pemimpin mahupun wira kita juga ada kisah peribadi mereka yang pernah didedahkan untuk pengetahuan umum. Namun, imaginasi Hollywood itu selalunya melangkaui imaginasi kita sehingga terpana.

Kalau mungkin pun kita hendak menghasilkan kisah mistikal seperti filem ini, kita boleh memilih pelbagai karakter bersejarah seperti Hang Tuah, Panglima Awang, Parameswara atau Sang Nila Utama yang kita sendiri tidak begitu jelas perjalanan hidup mereka. Hakikatnya, mereka hidup pada zaman lampau dan dengan ini kita lebih bebas untuk bermain dengan imaginasi dan elemen fiksyen. Tiada siapa yang boleh berkata ini, salah atau itu yang betul kerana ia bak satu lesen untuk berkarya sekiranya kita juga mahu lakukan seperti karyawan Hollywood.

Namun, untuk kisah di sebalik tabir tokoh pemimpin zaman moden di Malaysia, saya anggap filem Tanda Putera arahan Datin Paduka Shuhami Baba yang bakal ditayangkan tidak lama lagi adalah kisah yang lebih realistik walaupun ia masih dalam konteks filem cereka yang bersandarkan fakta sejarah.

Filem yang mendedahkan kisah peribadi Allahyarham Tun Abdul Razak dan sahabatnya, Allahyarham Tun Dr Ismail itu sangat menarik kerana kita hanya mengenali mereka sebagai Perdana Menteri dan Timbalan Perdana Menteri Malaysia semata-mata.

Namun, apa yang mereka sembunyikan daripada pengetahuan umum memberikan satu kesedaran baru kepada saya sebagai penonton dan anak Malaysia. Mesej filem itu, memang ada perkara peribadi yang pemimpin sembunyikan demi kebahagiaan rakyat. Ia benar-benar menyentuh hati saya sehingga satu peringkat, tidak tertanggung lagi sebak dan air mata.

Sebagai penonton, saya selalu mengharapkan karya dari Malaysia yang lebih kreatif dan dahsyat dari segi tema serta penceritaannya. Kita ada ramai pelakon yang berbakat di luar sana, namun semuanya terletak kepada skrip dan pengarahan itu sendiri. Pengarah terbaik adalah untuk filem yang terbaik.

Ke mana arah filem kita selepas ini? Apa lagi kisah yang mahu disogok kepada penonton? Semua jawapan itu ada di tangan pembikin filem kita yang seharusnya lebih berani untuk keluar dari zon selesa. Kalau boleh biarlah saya melihat Zizan Razak dan Aaron Aziz yang benar-benar berbeza daripada apa yang saya lihat sekarang -- roslenmetro@yahoo.com/ roslen@mediaprima.com.my

No comments:

Post a Comment