Friday, December 14, 2012

BILA AJAL TIBA

Daripada Mathar bin 'Akamis dan Abu Azzah katanya Rasulullah SAW bersabda: Apabila Allah telah memutuskan bagi seseorang hamba-Nya bahawa ia akan mati di satu bumi (tempat) nescaya Allah menjadikan sesuatu hajat baginya di tempat itu.

Riwayat: Diriwayatkan oleh Ahmad dan at-Tirmidzi, rujuk Sahih sunan at-Tirmidzi 

Huraian Hadith: 

Kematian itu tidak semestinya disebabkan oleh penyakit. Dengan perkataan lain, walau bagaimana hebat sekalipun kita menjaga kesihatan, ketentuan Allah itu mendahului segala-galanya kerana ada orang yang sangat teliti dalam penjagaan kesihatan, namun akhirnya menemui ajal dalam kemalangan jalan raya malah banyak lagi kisah-kisah lain yang membuktikan bahawa ajal itu bukan urusan manusia. Justeru setiap Muslim dituntut agar memohon perlindungan Allah pada setiap waktu dan ketika. Kita juga wajib percaya kepada Qadha' dan Qadar Allah SWT dan segala ketentuan-Nya kerana kita tidak mengetahui bila dan di mana kita menemui ajal.

Balasan Kesabaran

Daripada Abu Hurairah RA, bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Allah berfirman dalam hadis Qudsi yang bermaksud, “tiada balasan bagi seseorang hamba-Ku yang telah Aku ambil kembali kekasihnya di dunia, kemudian dia mengharapkan pahala daripada-Ku melainkan (orang itu akan mendapat balasan) syurga.”

Riwayat: Bukhari 

Huraian Hadith: 

1. Antara musibah yang menimpa manusia yang beriman dan dituntut bersabar ialah kehilangan orang yang disayangi.

2. Orang kafir tidak akan mendapat sebarang ganjaran daripada amalan yang baik kerana dia tidak beriman kepada Allah dan tidak percaya adanya ganjaran itu.

3. Mengharapkan ganjaran pahala dan bersabar atas musibah adalah tanda kesempurnaan iman seseorang, manakala marah dan gelisah atas musibah menunjukkan kelemahan iman.

4. Seseorang perlu bersabar ketika menghadapi kematian suami, isteri, anak atau ibu bapa, kerana ganjaran sabar di sisi Allah ialah syurga.

5. Tiada balasan yang lebih besar di dunia dan akhirat daripada balasan bagi seseorang yang bersifat sabar menghadapi bala dunia.


3. Diharuskan Menangis Kepada Orang Yang Meninggal Dunia

Daripada ibnu Umar r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. telah menziarahi Said bin Ubadah dan bersamanya Abdul Rahman bin Auf, Said bin Abu Waqas dan Abdullah bin Mas'ud r.a, kemudian Rasulullah s.a.w. menangis, lalu orang ramai yang ada bersama-sama baginda turut menangis. Seterusnya baginda bersabda, Adakah tidak kamu mendengar? Sesungguhnya Allah tidak mengazab orang mati dengan sebab linangan air mata atau susah hati, tetapi Allah akan menyiksa atau memberi rahmat kepada orang mati disebabkan ini, lalu baginda mengisyaratkan kepada lidahnya.

Riwayat: (Bukhari dan Muslim) 

1. Bersedih dan menangis kerana kematian seseorang yang dikasihi diharuskan oleh syarak dengan syarat ia tidak melampaui batas seperti meratapi serta meraung-raung dan sebagainya.

2. Penyeksaan atau rahmat terhadap orang mati bergantung kepada amalan lidah orang yang masih hidup di mana apabila lidah tersebut digunakan untuk memperkatakan kebaikan si mati ia akan mendatangkan kebaikan kepada si mati.

3. Sebaliknya jika lidah digunakan untuk memperkatakan kejahatan si mati atau memperkatakan kebaikan tetapi dengan cara yang tidak beradab ia akan mendatangkan keburukkan kepada si mati.

4. Roh Harum Dan Ruh Busuk

 Dari Abu Hurairah r.a katanya:Apabila roh orang-orang mukmin keluar dari tubuhnya dua orang malaikat menyambutnya dan menaikkannya ke langit. Kata Hammad :Kerana baunya harum seperti kasturi. Kata penduduk langit Roh yang baik datang dari bumi. Sallallahu ˜alaika (semoga Allah melimpahkan kebahagiaan kepadamu) dan kepada tubuh tempat engkau bersemayam. Lalu roh itu dibawa ke hadapan Tuhannya Azza wa Jalla. Kemudian Allah berfirman:Bawalah dia ke Sidratul Muntaha dan biarkan di sana hingga hari kiamat. Kata Abu Hurairah selanjutnya: Apabila roh orang-orang kafir keluar dari tubuhnya “ kata Hammad, berbau busuk dan mendapat makian-, maka berkata penduduk langit,Roh jahat datang dari bumi. Lalu diperintahkan, bawalah dia ke penjara dan biarkan di sana hingga hari kiamat.

Riwayat:(Muslim)

Kematian sesungguhnya amat menyiksakan. Kematian orang-orang yang tidak beriman mempunyai banyak perbezaan dengan kematian orang-orang yang beriman. Tanda-tandanya bukan sahaja dapat dilihat oleh orang yang hidup bahkan ini diperakukan sendiri di dalam al-Quran melalui firman Allah S.W.T yang maksudnya:"Kalau sekiranya kamu dapat melihat malaikat-malaikat mencabut nyawa orang-orang yang kafir seraya memukul muka dan belakang mereka serta berkata, "Rasakanlah olehmu siksa neraka yang membakar." (niscaya kamu akan merasa sangat ngeri) (al-Anfal :50). Rasulullah s.a.w sekalipun dianggap sebagai kekasih Allah turut merasakan kesakitan sakratulmaut. Itupun baginda diperlakukan secara lembut oleh malaikat. Maka bayangkanlah bagaimana kesakitannya jika kita selaku insan biasa dapat berhadapan dengan situasi ini. Oleh itu seharusnya kita sentiasa berwaspada agar tidak tergolong di kalangan orang-orang yang tidak beriman, lalai dan lupa kepada Allah kerana sudah pasti roh kita nanti bakal ditempatkan di dalam penjara sehingga hari kiamat.

5. Jangan Meratapi Jenazah

Dari Abdullah r.a katanya, Nabi SAW bersabda: Tidak termasuk golongan kami orang yang menampar-nampar pipi, mengoyak-ngoyak baju dan berteriak-teriak seperti teriakan jahiliyyah (kerana meratapi mayat) 

Riwayat: (al-Bukhari) 

1. Allah SWT yang menciptakan ketawa dan tangis serta menciptakan sebab tercetusnya hal tersebut.

2. Ada tangisan yang sangat dicela umpamanya meratapi mayat dengan meraung dan memukul-mukul dada atau merobek-robek pakaian. Ada pula tangisan yang sangat dipuji dan dituntut iaitu tangisan kerana menginsafi dosa-dosa yang silam atau menangis kerana takut akan azab dan siksa Allah SWT.

3. Sabar itu adalah pada awal kejadian. Oleh itu seseorang yang kehilangan orang yang disayanginya disebabkan meninggal dunia hendaklah bersabar dan tabah kerana sesungguhnya mayat akan tersiksa kerana ratapan (penyesalan) dari ahli keluarganya. Sedangkan kematian itu merupakan suatu perkara yang pasti dan tidak dapat dielakkan oleh setiap manusia.

4. Setiap Muslim harus menyedari bahawa segala yang berlaku adalah merupakan takdir dan ketentuan daripada Allah SWT. Oleh itu semestinya kita menjauhi dan meninggalkan segala perkara yang tidak sesuai dengan nilai-nilai Islam seperti meratapi orang yang telah meninggal dunia kerana amalan ini adalah seperti amalan yang dilakukan oleh masyarakat bukan Islam di zaman jahiliyyah.

6. Menjadi Saksi Allah

Dari Anas r.a katanya: Suatu arakan jenazah telah melewati suatu tempat. Lantas orang ramai memuji bahawa itu adalah jenazah orang yang baik. Ya, pasti. Berkata rasulullah s.a.w. menyetujuinya. Kemudian berlalu pula arakan jenazah yang lain. Orang ramai berkata pula: Mayat yang jahat. Berkata Rasulullah saw.:Ya, pasti! Maka bertanya Umar bin al-Khattab: Apakah yang pasti ya Rasulullah? jawab baginda: Kamu katakan mayat itu baik, maka ia pasti masuk syurga. Kamu katakan pula mayat si anu itu jahat, pasti pula ia masuk ke neraka. Kamu semua adalah para saksi Allah di bumi.

Riwayat: (Bukhari) 

Salah satu fakta terbesar dalam hidup manusia adalah kepastian akan berpisahnya seseorang itu dengan segala apa yang dimilikinya di dunia ini. Ajal adalah suatu yang tidak mampu dielak. Dan kematian itu adalah kejadian yang tepat pada waktunya tetapi sayang, kebanyakan manusia selalu merasa akan hidup seribu tahun lagi. Seharusnya kita hendaklah sentiasa beringat sebelum datangnya Malikulmaut menjemput untuk pulang, perbanyakanlah amal ibadat dan jauhkanlah segala tegahan serta lakukan apa yang disuruh. Namun sekiranya larangan juga yang dikerjakan maka dalam nerakalah seseorang itu akan dicampakkan dan manusia menjadi saksi di atas segala perbuatan jahat yang dilakukannya itu. Sesungguhnya juga Allah tidak memandang darjat seseorang itu melainkan berdasarkan banyak atau sedikitnya amalan yang dilakukan sehingga melayakkan dia menerima nikmat di akhirat kelak. Oleh itu jangan kita lupa untuk mengingati mati.

7. Sabar Atas Kematian Insan Tersayang

Rasulullah s.a.w telah bersabda yang maksudnya: Jika seorang hamba Allah kematian anak, Allah bertanya kepada Malaikat: Adakah kamu telah mengambil nyawa anak hamba-Ku? Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya lagi: Kamu telah mengambil nyawa buah hatinya? Malaikat menjawab: Ya. Allah bertanya kali ketiga: Apakah kata hamba-Ku? Malaikat menjawab: Ia bersyukur pada-Mu serta mengucapkan dari Allah kita datang dan kepadanya kita kembali. Allah Ta'ala memerintahkan malaikat-Nya: Binalah baginya sebuah rumah di syurga dan namakan rumah itu 'Rumah Kesyukuran'.

Riwayat: (at-Tirmidzi dan Ibnu Hibban) 

1. Apabila keimanan seseorang itu sudah kukuh dan mencapai kedudukan yang istimewa, pasti segala kejadian dan musibah yang terjadi, menjadi kecil pada dirinya.

2. Dia menyerahkan segala yang menimpa kepada Allah S.W.T tanpa merasa bimbang, kecewa dan sedih bahkan menerimanya dengan perasaan yang tenang dan sabar. Dengan perkataan lain, dia redha terhadap qada' dan tunduk terhadap takdir Allah S.W.T. Inilah sifat yang harus ada pada seorang mukmin yang sebenar.

3. Tidak dinafikan bahawa kesabaran itu amatlah berat, namun terlalu besar ganjarannya jika mahu dibandingkan dengan ujian-ujian yang lain. Hal ini termasuklah kesabaran seseorang itu di atas kematian anak kecil mereka di mana pada hari akhirat kelak ia akan menjadi suatu syafaat (mudah mendapat keampunan Allah) buat mereka yang menjadi ibu bapanya.

8. Menghormati Jenazah

Dari Abu Sa'id al-Khudri r.a katanya, Rasulullah s.a.w bersabda:Apabila kamu melihat jenazah, maka berdirilah! Sesiapa yang turut mengiringkannya ke kuburan, jangan duduk sampai jenazah itu diletakkan orang.

Riwayat: (Muslim) 

Orang yang meninggal hendaklah disegerakan pengkebumiannya. Mengikut ajaran Islam, mayat perlu dimuliakan dan dihormati sehinggalah jenazah selesai dikebumikan. Kaum lelaki digalakkan menghantar jenazah hingga ke kubur, sebaliknya kaum wanita tidak begitu digalakkan kerana dikhuatiri akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan diharamkan di dalam Islam.

9. Bersegera dalam menguruskan jenazah
Abu Hurairah r.a berkata bahawa nabi SAW bersabda yang maksudnya: Percepatkanlah kamu dalam membawa jenazah kerana jika jenazah itu jenazah yang soleh maka ia suatu roh (kebajikan), kamu meyerahkannya dan jika ia tidak soleh maka suatu kejahatan yang kamu lepaskan daripada pundak mu.

Riwayat: (al-Bukhari dan Muslim ) 
Menguruskan jenazah hukumnya adalah fardu kifayah. Islam mengharuskan kita menyegerakan pengurusan jenazah termasuk menghantar atau mengusung mayat untuk dikebumikan. Sama ada mayat tersebut lelaki atau wanita pengusungan jenazah dilakukan oleh kaum lelaki. Manakala para wanita tidak digalakkan untuk mengiringi jenazah ke perkuburan kerana dikhuatiri mereka akan meratapi kematian tersebut sedangkan tangisan dan ratapan yang berlebihan adalah haram di sisi Islam.


Sumber Rujukan : JAKIM

2 comments: