Monday, February 22, 2016

FARAID - Part 3: Cara-cara perwarisan

Bagaimanakah cara perwarisan yang ditetapkan Syarak?

Cara perwarisan yang ditetapkan Syarak ada dua, iaitu;

Cara pertama; 
Mewarisi dengan kadar atau bahagian yang ditetapkan oleh Syara’. Perwarisan cara ini dipanggil bil-Fardhi (إرث بالفرض) dan orang yang mewarisi dengan cara ini diistilahkan ashabil-furudh.

Cara kedua; 
Mewarisi tanpa bahagian tetap tetapi dengan mengambil baki setelah ditolak bahagian pewaris-pewaris dengan kadar tetap tadi (ashabul-furudh). Perwarisan cara ini dipanggil bit-Ta’shib (إرث بالتعصيب) dan orang yang mewarisi melalui cara ini diistilahkan sebagai al-‘ashib. Jika tiada baki maka ia tidak memperolehi apa-apa dari harta pusaka. Dan jika ia berseorangan –yakni tiada ahli waris yang lain, ia akan membolot semua harta pusaka.

Berapakah kategori ahli waris melihat kepada cara perwarisan tersebut?

Ada empat kategori iaitu;

Kategori pertama; iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi dengan bahagian tetap sahaja. Mereka ada tujuh orang iaitu;

1.Ibu

2.Saudara lelaki seibu

3.Saudara perempuan seibu

4.Nenek dari pihak ibu (الجدة من جهة الأم)

5.Nenek dari pihak bapa (الجدة من جهة الأب)

6.Suami

7.Isteri 

Kategori kedua: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi dengan menunggu baki sahaja. Mereka ada 12 orang, iaitu;

1.Anak lelaki

2.Cucu lelaki dari sebelah anak lelaki (ابن الإبن)

3.Saudara lelaki seibu-sebapa

4.Saudara lelaki sebapa

5.Anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa (ابن الأخ الشقيق)

6.Anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa (ابن الأخ لأب)

7.Bapa saudara seibu-sebapa (dengan bapa) (العم الشقيق)

8.Bapa saudara sebapa (dengan bapa) (العم لأب)

9.Anak lelaki kepada bapa saudara seibu-sebapa (dengan bapa) (ابن العم الشقيق)

10.Anak lelaki kepada bapa saudara sebapa (dengan bapa) (ابن العم لأب).

11.al-Mu’tiq
12.al-Mu’tiqah

Semua mereka di atas mewarisi secara at-ta’shib sahaja dan tidak akan mewarisi secara al-fardhi selama-lamanya. Oleh demikian, setiap mereka harus untuk memboloti semua harta peninggalan -jika tiada ahli waris lain- atau mewarisi baki harta pusaka selepas ditolak bahagian-bahagian ashabil-furudh.

Kategori ketiga: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi adakalanya dengan bahagian tetap dan adakalanya menunggu baki dan adakalanya menghimpunkan kedua-duanya.

Ada dua orang sahaja, iaitu;

1.Bapa
2.Datuk

Bapa atau datuk mewarisi secara dengan kadar tetap (iaitu sepernam) jika si mati mempunyai anak lelaki atau cucu lelaki. Ia mewarisi dengan menunggu baki jika si mati tiada meninggalkan sebarang anak atau cucu (sama ada lelaki atau perempuan) dan mewarisi dengan cara kedua-duanya sekali jika si mati hanya mempunyai anak atau cucu perempuan sahaja (yakni tidak mempunyai anak atau cucu lelaki).

Kategori keempat: iaitu ahli-ahli waris yang mewarisi adakalanya dengan bahagian tetap dan adakalanya menunggu baki, akan tetapi tidak akan menghimpunkan kedua-duanya sama sekali.

Ada empat orang iaitu;

1.Anak perempuan

2.Cucu perempuan dari garis anak lelaki (بنت الإبن)

3.Saudara perempuan seibu-sebapa

4.Saudara perempuan sebapa

Penyusunan dalam perwarisan

Dalam melakukan pembahagian harta pusaka, hendaklah didahulukan pembahagian kepada orang-orang yang memiliki kadar atau bahagian tetap terlebih dahulu (yakni ashabil-furudh), kemudian barulah diberikan kepada orang-orang yang menunggu baki (yakni al-‘ashib atau al-‘ashabat). Ini kerana beramal dengan arahan Rasulullah s.a.w.;

أَلْحِقُوا الْفَرَائِضَ بِأَهْلِهَا، فَمَا بَقِيَ فَهُوَ لأَوْلَى رَجُلٍ ذَكَرٍ

“Berikan (terlebih dahulu) bahagian-bahagian (yang ditetapkan) kepada pemilik-pemiliknya, kemudian bakinya diberikan kepada pihak lelaki yang paling utama”. (Riwayat Ahmad, Bukhari, Muslim dan Tirmizi dari Ibnu Abbas r.a.)

Sumber:-

Koleksi Al Kalam
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Ijazah Sarjana Muda (Syariah) Universiti Al-Azhar (1997), Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) Insaniah Al-Azhar (2004).
Penulis Telaga Biru

Thursday, February 18, 2016

FARAID - Part 2: Ahli-ahli waris

Apa yang dimaksudkan ahli-ahli waris?


Ahli-ahli waris bermaksud orang-orang yang ditetapkan Syarak akan mewarisi harta si mati jika tiada orang yang menghadangnya dan tiada halangan. Ahli-ahli waris terdiri dari 25 orang semuanya iaitu 15 lelaki dan 10 perempuan. 

Siapakah ahli-ahli waris lelaki?

1.(الإبن); iaitu anak lelaki

2.(ابن الإبن): iaitu anak lelaki kepada anak lelaki (yakni cucu lelaki dari sebelah anak lelaki) dan seterusnya ke bawah. 

3.(الأب): iaitu bapa

4.(الجد): iaitu bapa kepada bapa (yakni datuk dari sebelah bapa) dan seterusnya ke atas

5.(الأخ الشقيق): iaitu saudara kandung lelaki seibu-sebapa

6.(الأخ لأب): iaitu saudara lelaki sebapa (الأخ لأب)

7.(الأخ لأم): iaitu saudara lelaki seibu

8.(ابن الأخ الشقيق): iaitu anak lelaki kepada saudara lelaki seibu-sebapa.

9.(ابن الأخ لأب): iaitu anak lelaki kepada saudara lelaki sebapa

10.(العم الشقيق): iaitu bapa saudara yang seibu dan sebapa (dengan bapa)

11.(العم لأب): iaitu bapa saudara yang sebapa (dengan bapa)

12.(ابن العم الشقيق): iaitu anak lelaki kepada bapa saudara yang seibu dan sebapa (dengan bapa)

13.(ابن العم لأب): iaitu anak lelaki kepada bapa saudara yang sebapa (dengan bapa)

14.Suami (الزوج)

15.al-Mu’tiq (المعتق); iaitu lelaki yang membebaskan hamba.


Siapakah ahli-ahli waris perempuan?

1.(البنت): iaitu anak perempuan

2. (بنت الإبن): iaitu anak perempuan kepada anak lelaki (yakni cucu perempuan dari sebelah anak lelaki) dan seterusnya ke bawah.

3.(الأم); iaitu ibu

4.(الجدة لأم): iaitu nenek sebelah ibu (yakni ibu kepada ibu)

5.(الجدة لأب): iaitu nenek sebelah bapa (yakni ibu kepada bapa)

6.(الأخت الشقيقة): iaitu saudara perempuan seibu dan sebapa

7.(الأخت لأب): iaitu saudara perempuan sebapa

8.(الأخت لأم): iaitu saudara perempuan seibu

9.Isteri (الزوجة)

10.al-Mu’tiqah (المعتقة): iaitu perempuan yang membebaskan hamba.


Beberapa ulasan

1. Jika berhimpun semua waris lelaki di atas, maka yang akan mewarisi tiga orang sahaja iaitu;

i. Bapa

ii. Anak lelaki

iii. Suami

Adapun yang lain-lainnya terhijab/terhadang oleh tiga waris di atas.

2. Jika berhimpun semua waris perempuan di atas, maka yang akan mewarisi ialah lima orang sahaja iaitu;

i.  Anak perempuan

ii. Anak perempuan kepada anak lelaki (yakni cucu perempuan)

iii. Ibu

iv. Saudara perempuan seibu-sebapa

v. Isteri

3. Jika berhimpun kesemua sekali ahli waris merangkumi lelaki dan perempuan di atas, maka yang akan mewarisi
 ialah lima orang;

i. Anak lelaki

ii. Anak perempuan

iii. Bapa

iv. Ibu

v. Suami atau isteri.

4. Jika seorang perempuan mati dan meninggalkan semua waris perempuannya dan tidak ada seorangpun ahli waris lelaki, maka yang berhak mewarisi hanya empat orang sahaja iaitu;

i. Ibu

ii. Anak perempuan

iii. Cucu perempuan (بنت الإبن)

iv. Saudara perempuan seibu-sebapa

5. Jika seorang lelaki mati dan meninggalkan semua waris dari kalangan lelaki dan tidak ada seorangpun ahli waris
 perempuan, maka yang berhak mewarisi hanya dua orang sahaja iaitu;

i. Bapa

ii. Anak

6. Semua dari kalangan ahli waris lelaki harus memboloti keseluruhan harta pusaka –jika ia seorang sahaja ahli waris si mati yang ada- kecuali suami.


7. Semua dari kalangan ahli waris perempuan harus memboloti keseluruhan harta pusaka –jika ia seorang sahaja ahli waris si mati yang ada- kecuali isteri.


Sumber:-

Koleksi Al Kalam
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Ijazah Sarjana Muda (Syariah) Universiti Al-Azhar (1997), Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) Insaniah Al-Azhar (2004).
Penulis Telaga Biru

Tuesday, February 16, 2016

FARAID - Part 1

Pengenalan Ilmu Faraid

Apakah itu ilmu faraid?

Ilmu Faraid ialah: “Ilmu berkenaan kaedah-kaedah fekah dan hisab (matematik) bertujuan untuk mengetahui habuan yang bakal diperolehi oleh setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati”.

Apakah kelebihan mempelajari ilmu Faraid?

1. Sabda Rasulullah s.a.w.; “Belajarlah ilmu Faraid dan ajarkanlah kepada orang lain kerana ia adalah separuh ilmu. Dia akan dilupakan dan dia akan menjadi perkara pertama dicabut dari umatku”. (Riwayat Ibu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

2. Berkata Saidina Umar r.a.: “Pelajarilah ilmu as-Sunnah, ilmu Faraid dan ilmu Bahasa (Arab) sebagaimana kamu mempelajari al-Quran”. (Diriwayatkan oleh Imam ad-Darimi, Ibnu ‘Abdil-Barri dan Abu ‘Ubaid/Kanzul-‘Ummal, al-Muttaqi al-Hindi, no. 29347)

Apakah tujuan mempelajari ilmu Faraid?

Untuk mengetahui bahagian atau habuan yang bakal diperolehi oleh setiap ahli waris dari harta peninggalan si mati atau harta pusaka.

Apakah yang menjadi objek perbahasan ilmu Faraid?

At-Tarikah (التركة) iaitu harta peninggalan si mati.

Apa yang dimaksudkan at-Tarikah?

At-Tarikah atau harta peninggalan bermaksud segala harta yang ditinggalkan si mati selepas kematiannya sama ada aset tetap (seperti tanah, rumah, bangunan dan sebagainya) atau aset berubah (seperti mata-wang, emas, perak dan sebagainya).

Apakah aspek-aspek penting yang perlu diketahui untuk mendalami ilmu faraid?

1.Mengetahui cabang-cabang nasab

2.Mengetahui siapa ahli waris dan siapa bukan ahli waris.

3.Mengetahui kadar atau bahagian yang akan diwarisi oleh setiap ahli waris

4.Mengetahui kaedah atau cara mengira (ilmu matematik dasar).


Apakah kewajipan yang mesti ditunaikan terhadap harta si mati?

Pertama; Diambil darinya untuk kos pengurusan jenazahnya.

Kedua; Kemudian, diambil darinya untuk membayar hutang-hutangnya; (pertama) hutangnya dengan hamba-hamba Allah dan (kedua) hutangnya dengan Allah.

Ketiga; Kemudian, dilaksanakan wasiatnya dengan syarat tidak melebihi 1/3 dari harta yang tinggal setelah ditolak hutang. 

Keempat; Akhirnya, diagihkan kepada ahli-ahli warisnya.


Apakah rukun-rukun bagi sebuah perwarisan?

Rukun-rukun perwarisan ada tiga, iaitu;

1. al-Muwarrith iaitu orang yang mewariskan harta (yakni si mati)

2. al-Warith iaitu orang yang bakal mewarisi harta si mati.

3. al-Mauruth iaitu harta yang diwariskan oleh si mati.



Apakah faktor-faktor perwarisan?

1. Ikatan keturunan atau kekeluargaan

Ia merangkumi;

a)Usul; iaitu ibu-bapa, datuk, nenek dan seterusnya.

b)Furu’; iaitu anak, cucu, cicit dan seterusnya.

c)Hawasyi; iaitu (pertama) saudara-saudara dan anak-anak saudara, (kedua) bapa-bapa saudara dan anak-anak
 bapa saudara.

2. Ikatan perkahwinan

Iaitu ikatan suami dan isteri.

3. Ikatan dengan bekas hamba (Al-Wala’)

Iaitu perwarisan seseorang dengan sebab ikatan antaranya dengan hamba yang telah dibebasnya. 

4. Ikatan akidah (keislaman)

Iaitu seorang muslim yang mati jika ia tidak mempunyai sebarang ahli waris melalui sebab-sebab di atas, maka harta peninggalannya akan menjadi hak kaum muslimin yakni dimasukkan ke dalam Baitul-Mal

Apakah syarat-syarat untuk mewarisi harta seseorang?

1. al-Muwarrith (orang yang mewariskan harta) telah pasti matinya.

2. Al-Warith (orang yang mewarisi) masih hidup ketika kematian al-muwarrith (si mati).

3. Dipastikan terlebih dahulu secara terperinci jenis hubungan antara waris dengan si mati yang menjadi faktor kepada perwarisan.

4. Tidak terdapat sebarang tegahan yang menghalang dari mewarisi harta si mati.

Apakah yang menghalang perwarisan?

1. Menjadi hamba

Seorang hamba tidak akan mewarisi kerana hartanya akan berpindah kepada tuannya.

2. Membunuh orang yang mewariskan harta.

Sabda Rasulullah s.a.w.;

القَاتِلُ لاِيَرِثُ

“Orang yang membunuh tidak mewarisi (harta dari orang yang dibunuhnya)”. (Riwayat Ibnu Majah dari Abu Hurairah r.a.)

3. Berbeza agama (yakni antara Islam dan kafir)

Sabda Rasulullah s.a.w.;

لاَ يَرِثُ الْمُسْلِمُ الْكَافِرَ، وَلاَ يَرِثُ الْكَافِرُ الْمُسْلِمَ

“Tidak mewarisi seorang muslim dari seorang kafir dan tidak mewarisi seorang kafir dari seorang muslim”. (Riwayat Muslim dari Usamah bin Zaid r.a.)


Sumber:-

Koleksi Al Kalam
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Ijazah Sarjana Muda (Syariah) Universiti Al-Azhar (1997), Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) Insaniah Al-Azhar (2004).
Penulis Telaga Biru