Wednesday, March 9, 2016

FARAID - Part 4: Jenis-jenis kadar/bahagian dalam perwarisan

Berapa jenis kadar atau bahagian yang ditetapkan dalam perwarisan Islam?

Ada tujuh jenis semuanya iaitu;

a) Enam jenis ditetapkan berdasarkan kitab Allah, iaitu;

1.Seperdua (1/2)

2.Seperempat (1/4)

3.Seperlapan (1/8)

4.Dua-pertiga (2/3)

5.Sepertiga (1/3)

6.Sepernam (1/6)

b) Satu jenis ditetapkan dengan ijtihad ulama’, iaitu;

1.Sepertiga dari baki (1/3 Baki)

Siapakah yang akan mewarisi dengan kadar/bahagian seperdua (1/2)?

Ada lima orang iaitu;

1. Suami; iaitu jika si mati (yakni isterinya) tidak mempunyai cabang waris (iaitu anak atau cucu). 

2. Anak perempuan; iaitu dengan dua syarat;

a)Tidak terdapat saudara lelakinya

b)Bilangannya hanya seorang sahaja.

3. Cucu perempuan dari garis anak lelaki; iaitu dengan tiga syarat;

a)Tidak terdapat saudara lelakinya.

b)Bilangannya hanya seorang sahaja.

c)Tidak terdapat cabang waris yang lebih tinggi darinya (yakni yang lebih hampir kepada si mati darinya).

4. Saudara perempuan seibu-sebapa; iaitu dengan empat syarat;

a) Tidak terdapat saudara lelakinya yang seibu-sebapa.

b) Bilangannya seorang sahaja.

c) Si mati tidak mempunyai cabang waris (yakni anak atau cucu).

d) Si mati tidak mempunyai usul waris (yakni bapa atau datuk)

5. Saudara perempuan sebapa (ukht li-abin); iaitu dengan lima syarat;

a) Tidak terdapat saudara lelakinya yang sebapa dengannya.

b) Bilangannya seorang sahaja.

c) Si mati tidak mempunyai cabang waris. 

d) Si mati tidak mempunyai usul waris.

e) Si mati tidak mempunyai saudara lelaki seibu-sebapa dan juga saudara perempuan seibu-sebapa.

Siapakah yang akan mendapat seperempat (1/4)?

Hanya dua orang sahaja yang akan mewarisi bahagian seperempat iaitu;

1. Suami; iaitu jika si mati (yakni isterinya) mempunyai cabang waris sama ada hasil perkongsian hidup dengannya atau 
   dengan suami lain. 

2. Isteri; iaitu jika si mati (yakni suaminya) tidak mempunyai cabang waris sama ada dari hasil perkongsian dengannya atau 
         dengan perempuan lain. 

Siapakah yang akan mendapat seperlapan (1/8)?

Ada seorang sahaja, iaitu;

1. Isteri; iaitu jika si mati (yakni suaminya) mempunyai cabang waris, sama ada hasil perkongsian denganya atau dengan
         wanita lain.

Siapakah yang akan mendapat dua pertiga (2/3)?

Ada empat orang iaitu,

1. Anak-anak perempuan; iaitu dengan dua syarat;

a)Jumlah mereka ramai iaitu dua atau lebih. 

b)Tidak terdapat saudara lelaki mereka (yakni anak lelaki si mati).

2. Cucu atau cicit perempuan; iaitu dengan tiga syarat;

a)Jumlah mereka adalah ramai iaitu dua atau lebih.

b)Tidak terdapat saudara lelaki mereka (iaitu cucu lelaki si mati). 

c)Tidak ada cabang waris si mati yang lebih tinggi dari mereka (yakni lebih hampir dengan si mati) seperti anak lelaki si 
                  mati, anak perempuan si mati, sucu lelaki atau perempuan yang lebih hampir dengan si mati dari mereka dan 
                  sebagainya. 

3. Saudara-saudara perempuan seibu-sebapa; iaitu dengan empat syarat;

a)Bilangan mereka ramai iaitu dua atau lebih.

b)Tidak terdapat saudara lelaki mereka yang seibu-sebapa dengan mereka. 

c)Si mati tidak mempunyai cabang waris sama ada lelaki atau perempuan. 

d)Si mati tidak mempunyai usul waris lelaki iaitulah bapa, datuk dan seterusnya ke atas. 

4. Saudara-saudara perempuan sebapa; iaitu dengan lima syarat;

a)Bilangan mereka adalah ramai aitu dua atau lebih

b)Tidak terdapat saudara lelaki mereka yang sebapa.

c)Si mati tidak mempunyai cabang waris sama ada lelaki atau perempuan.

d)Si mati tidak mempunyai usul waris lelaki iaitu bapa atau datuk.

e)Si mati tidak mempunyai saudara-saudara lelaki dan saudara-saudara perempuan yang seibu-sebapa. 

Siapakah yang akan mewarisi sepertiga (1/3)?

Ada dua orang sahaja, iaitu;

1. Ibu; iaitu dengan dengan tiga syarat;

a) Si mati tidak mempunyai cabang waris.

b) Si mati tidak mempunyai saudara-saudara yang ramai iaitu dua atau lebih.

c) Bukan dalam masalah ‘Umariyyah kerana dalam masalah ini, ibu akan mewarisi sepertiga baki (1/3 baki), bukan 
                         sepertiga (1/3) dari keseluruhan harta peninggalan.

2. Saudara-saudara seibu (lelaki dan perempuan); iaitu dengan tiga syarat;

a)Bilangan mereka adalah ramai iaitu dua atau lebih. 

b)Si mati tidak mempunyai cabang waris si mati.

c)Si mati tidak memiliki usul waris iaitu bapa, datuk hingga seterusnya ke atas. 

Siapakah yang akan mewarisi sepernam (1/6)?

Ada tujuh orang, iaitu;

1. Bapa; dengan satu syarat sahaja iaitu jika si mati mempunyai cabang waris sama ada lelaki atau perempuan. 

2. Ibu; dengan satu syarat sahaja iaitu jika si mati mempunyai cabang waris atau mempunyai saudara-saudara yang 
                  ramai iaitu dua atau lebih. 

3. Datuk; iaitu dengan dua syarat;

a)Si mati mempunyai cabang waris sama ada lelaki atau perempuan.

b)Tidak terdapat bapa. Kerana jika ada apa, maka datuk akan dihalang oleh bapa dari mendapat harta pusaka.

4. Cucu perempuan dari pihak anak lelaki (بنت الابن); iaitu dengan tiga syarat;

a) Si mati mempunyai seorang anak perempuan (yakni ‘البنت’) atau seorang cucu perempuan yang lebih tinggi 
 darjat darinya. 

b) Si mati tidak mempunyai anak lelaki atau cabang waris lelaki yang lebih tinggi darinya . 

c) Tidak terdapat cucu lelaki si mati yang sedarjat dengannya (yakni ‘ابن الإبن’).

5. Saudara perempuan sebapa (الأخت لأب); iaitu dengan lima syarat;

a) Si mati mempunyai seorang saudara perempuan yang seibu-sebapa.

b) Si mati tidak mempunyai cabang waris sama ada lelaki atau perempuan.

c)Si mati tidak mempunyai usul waris lelaki iaitu bapa, datuk dan seterusnya ke atas. 

d) Si mati tidak mempunyai saudara lelaki seibu-sebapa. 

e) Tidak terdapat saudara lelakinya yang sebapa. 

6. Saudara lelaki atau perempuan seibu (الأخ لأم والأخت لأم); iaitu dengan tiga syarat;

a)Si mati tidak mempunyai cabang waris secara mutlaknya. 

b)Si mati tidak mempunyai usul waris lelaki iaitu bapa, datuk dan seterusnya ke atas. 

c)Bilangan saudara seibu tersebut –sama ada lelaki atau perempuan- seorang sahaja.

7. Nenek (الجدة); iaitu dengan satu syarat sahaja iaitu si mati tidak mempunyai ibu dan juga tidak mempunyai bapa (khusus bagi nenek sebelah bapa sahaja).

(*Perhatian; menjadi ijma’ ulama’ bahawa; bahagian nenek hanyalah sepernam (1/6) sama ada bilangan mereka seorang atau ramai. Jadi, jika bilangan mereka ramai (yakni dua atau lebih), bahagian sepernam itu dibahagi sama-rata antara mereka). 

Siapakah yang akan mewarisi sepertiga baki (1/3 Baki)?

Ada dua sahaja, iaitu;

1.Datuk; iaitu dalam kes datuk bersama saudara-saudara si mati yang seibu-sebapa dan sebapa. 

2.Ibu; iaitu dalam dua masalah yang dikenali sebagai ‘Umariyyatain atau Gharrawiyyatain di mana ahli-ahli waris ialah ibu, 
         bapa dan salah seorang dari suami atau isteri.


Sumber:-

Koleksi Al Kalam
Ustaz Ahmad Adnan Fadzil
Ijazah Sarjana Muda (Syariah) Universiti Al-Azhar (1997), Dipl. Takhassus Fiqh (Pra M.A) Insaniah Al-Azhar (2004).
Penulis Telaga Biru